Awas ! ada kenderaan pakai lambang Ahli DiRaja palsu...


Barangkali ramai tidak menyedari bahawa crest atau lencana yang memperagakan “Ahli DiRaja” pada kenderaan merupakan satu kesalahan. Ini kerana pihak lstana tidak pernah mengeluarkan sijil atau membenarkan crest tertera perkataan itu digunakan. Walaupun di sekitar Bandaraya Ipoh khususnya kenderaan yang membawa lambang “diraja” itu tidak banyak namun ada kes dimana sijil keahlian “Ahli DiRaja” dijual.

Sudah tentu ia dilakukan oleh sindiket tertentu sehingga didedahkan pihak media beberapa minggu lalu dan ekoran dari itu satu laporan polis dibuat oleh pihak kerajaan negeri.
Pagi (Rabu) tadi Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Dato’ Abdul Puhat Mat Nayan memberitahu satu sidang media bahawa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak pernah mengeluarkan sebarang watikah  atau surat kuasa kepada mana-mana pihak atau individu untuk membolehkan mereka mengeluarkan sebarang sijil keahlian `AHLI DIRAJA’.

Beliau berkata, menjadi  satu kesalahan di sisi undang-undang bagi sesiapa sahaja yang memiliki atau mengeluarkan lencana mengandungi  lambang Negeri Perak dan keahlian `AHLI DIRAJA’.
"Mereka yang melakukan kesalahan ini telah melanggar Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-nama(Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) 1966,’’ katanya.

Puhat mengulas laporan media 8 Jun lalu  kegiatan menjual lencana kereta mengandungi lambang Negeri Perak dan keahlian  `AHLI DIRAJA’.
Menurut media, dua lelaki kerugian RM4,000 setelah diperdayakan satu sindiket penipuan yang menawarkan mereka untuk menjadi Ahli Kelab Diraja Perak baru-baru ini.

Sehingga kini belum diketahui sindiket itu beroperasi di Ipoh ataupun dari9 luar negeri ini.
Menurut Setiausaha Kerajaan negeri itu, pihaknya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Ipoh pada 9 Jun lalu.

Menjawab soalan Puhat berkata, Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul)1966, secara jelas telah menggariskan kawal selia berkaitan Jata, panji-panji, cap mohor rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan , Cap Mohor Kerajaan Negeri, Jata kerajaan dan Darjah-darjah Kebesaran, Lambang-lambang, Pingat-pingat, Lencana-lencana yang diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan.

"Tiada sesiapa yang dibenarkan menggunakan perkara-perkara yang tersenarai itu kecuali diberikan kebenaran secara bertulis oleh Pihak Berkuasa Negeri Perak Darul Ridzuan,’’ katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan pihak  Berkuasa Negeri Perak Darul Ridzuan tidak pernah pada bila-bila masa memberi sebarang kebenaran secara bertulis kepada mana-mana pihak atau individu untuk mengeluarkan sijil keahlian `AHLI DIRAJA’.

Puhat menasihatkan orang awam supaya tidak terpedaya  membeli atau memperoleh keahlian `AHLI DIRAJA’ yang ditawar serta  dijanjikan.

"Saya menasihatkan orang awam yang telah terpedaya dengan perbuatan ini atau didampingi oleh mana-mana pihak yang menawarkan mereka menjadi `AHLI DIRAJA’ supaya tampil membuat laporan polis,’’ katanya.
Puhat berkata, ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes penipuan itu dan mengambil tindakan tindakan undang-undang ke atas mereka yang terbabit.-20/6/2012
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori BERITA / ISU UMUM dengan judul Awas ! ada kenderaan pakai lambang Ahli DiRaja palsu.... Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://cmdia.blogspot.com/2012/06/awas-ada-kenderaan-pakai-lambang-ahli.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "Awas ! ada kenderaan pakai lambang Ahli DiRaja palsu..."

Post a Comment

terima kasih kerana sudi memberi coment, harap datang ke blog ini lagi ya.