sebab yang Sebenar Ialah Mereka Tak Takut allah...



Orang yang tidak takut dengan Tuhan, ia akan mempertuhankan dirinya sendiri. Sekalipun mulutnya tidak membuat pengakuan. Sedangkan bersikap ketuanan pun satu kesalahan, betapalah bersikap ketuhanan tentulah lebih salah, kerana dia telah melakukan perbuatan syirik yang tersembunyi. Di dunia hari ini, orang menilai masalah tidak sama. Masalah yang dimaksudkan di sini ialah sesuatu yang orang tidak suka. Sesuatu yang menekan dan menyusahkan orang. Sesuatu yang menghimpit, yang membuatkan orang risau, bimbang dan susah hati. Kebanyakan masalah tidak disukai orang. Jadi, masalah yang tidak disukai oleh manusia itu dinilai tidak sama. Kadang-kadang masalah tidak dikatakan masalah. Manakala yang bukan masalah dikatakan masalah.

Pandangan orang secara umum hari ini, ada di antara masalah itu sangat ditakuti bahkan hendak dibanteras. Di antaranya ialah masalah kemiskinan, sakit atau kemunduran. Sedangkan pada Tuhan dan pada orang bertaqwa, sakit, miskin dan kemunduran bukan masalah. Tuhan tidak kata, siapa mundur berdosa atau masuk Neraka. Adakah Hadis atau ayat Al Quran yang mengatakan, “Siapa sakit masuk Neraka,” atau “Siapa sakit Tuhan benci?” Kalau tidak ada, itu menunjukkan ia bukan masalah.
Jadi kenapa manusia menganggap sesuatu yang Tuhan katakan bukan masalah itu sebagai satu masalah. Mengapa kebanyakan manusia sama ada pemimpin, ulama atau rakyat biasa menganggap perkara-perkara yang disebutkan tadi itu sebagai masalah. Malah apa yang menjadi masalahnya di sini ialah bilamana masalah yang bukan masalah itu dijadikan masalah, maka ia menimbulkan masalah yang lebih besar lagi. Jadi apakah masalah yang sebenarnya?

Apakah masalah yang paling besar? Siapakah yang boleh menjawab persoalan ini? Sebenarnya masalah yang paling besar ialah tidak takut Tuhan. Namun tidak pernah orang sebut bahawa masalah tidak takut Tuhan itu masalah yang paling besar. Walhal, masalah yang paling besar di dunia hari ini ialah orang tidak kenal dan tidak takut Tuhan.

Apakah kesannya bila orang tidak takut Tuhan?
1. Apabila tidak kenal dan tidak takut Tuhan, perkara yang sepatutnya bukan masalah menjadi masalah
Contohnya kemiskinan sepertimana yang disebutkan di atas tadi. Walaupun kebanyakan manusia tidak suka miskin, tapi ia bukan masalah. Bagi orang miskin yang tidak kenal dan tidak takut Tuhan, kemiskinan menjadi masalah kepadanya. Bila menjadi masalah, orang susah hati, menderita, jadi risau dan resah, maka ia menjadi masalah.

Ia akan lebih lagi menjadi masalah kalau mereka tidak sabar. Akhirnya mereka mencuri, menipu, merompak dan mungkin membunuh orang. Bila masalah yang pertama itu wujud, iaitu tidak takut Tuhan, yang tidak menjadi masalah seperti kemiskinan akhirnya menjadi masalah.

2. Apabila tidak takut Tuhan, perkara yang bukan masalah, iaitu perkara yang disukainya, pun menjadi masalah
Di antaranya ialah pandai. Pandai bukan masalah. Begitu juga kaya, ia bukan masalah kerana semua orang suka. Berjawatan tinggi bukan masalah sebab semua orang suka. Jadi pemimpin juga bukan masalah. Tetapi bila masalah yang satu itu wujud iaitu tidak takut Tuhan, perkara yang bukan masalah menjadi masalah. Ini lebih-lebih lagi ramai manusia yang tidak sedar dan tidak faham. Sebagai contoh:

a. Pandai
Pandai itu bukan masalah. Tanyalah sesiapa pun. Tidak ada siapa pun yang berkata tidak mahu menjadi pandai kerana ianya menjadi masalah. Tidak ada orang yang mengatakan yang pandai itu akan menjadi penyakit masyarakat. Sebaliknya hari ini, kepandaian sudah menjadi masalah kerana tidak takut Tuhan. Bila pandai tetapi tidak takut Tuhan, datang sifat sombong hingga menjadi masalah. Datang rasa ego hingga menjadi masalah. Bila pandai dan tidak takutkan Tuhan, dia menghina orang yang tidak pandai. Bukankah itu sudah menjadi masalah? Padahal kepandaian sebenarnya bukan masalah. Tetapi bila manusia tidak takut Tuhan, yang bukan masalah menjadi masalah. Pandai pun boleh jadi masalah. Kerana pandai, boleh bergaduh.

Jadi puncanya ialah tidak takut Tuhan. Tidak takut Tuhan inilah yang mesti dibanteras dulu. Inilah punca masalah. Bagi orang yang tidak takut Tuhan, yang bukan masalah pun menjadi masalah betapalah kalau memang perkara itu masalah, bertambah lagilah bermasalah dan berentetanlah masalah itu. Justeru itu kita mesti kempen supaya orang takutkan Tuhan.

b. Kaya
Kaya juga bukan masalah. Semua orang hendak dan suka menjadi kaya. Tetapi bila tidak takut Tuhan, orang kaya akan melahirkan masalah seperti menjadi bakhil, tamak, sombong, melakukan pembaziran, nafsi-nafsi, menghina orang miskin dan lain-lain lagi. Dari situ timbul bermacam-macam masalah dalam masyarakat. Di sini kita lihat, betapa banyak masalah timbul dari sesuatu yang bukan masalah hanya kerana tidak takut Tuhan.

c. Pemimpin
Begitu juga menjadi pemimpin bukan satu masalah. Semua orang suka adanya pemimpin. Sama ada rakyat suka pemimpin, mahupun yang punya diri suka menjadi pemimpin. Itu bukan masalah. Semua orang tahu itu bukan masalah. Tetapi bila tidak takut Tuhan, ia menjadi masalah. Misalnya bila sudah dapat jadi pemimpin, dia menjadi sombong dan ada kepentingan diri. Dia menjadi zalim lebih-lebih lagi bila hendak mempertahankan kedudukannya. Dia akan cantas musuh-musuhnya. Dia akan bagi rasuah supaya ada orang mempertahankannya. Begitulah perkara yang asalnya bukan masalah tetapi bila tidak takut dengan Tuhan, akhirnya menjadi masalah.

3. Cara menilai masalah sudah tidak tepat
Selain itu, nilaian manusia hari ini terhadap masalah pun sudah tidak tepat. Mereka menilai masalah yang kecil dan remeh-temeh sebagai masalah besar. Katalah miskin itu adalah masalah. Itu remeh-temeh tetapi sudah jadi masalah besar. Bahkan berlakunya macam-macam masalah dan kerosakan yang lebih besar di dunia hari ini adalah berasal daripada perkara yang orang anggap bukan masalah. Semuanya berpunca daripada tidak takut Tuhan. Kerosakan atau masalah yang ditimbulkan oleh orang miskin atau orang bodoh yang tidak takut Tuhan hanya kecil-kecil saja. Sebaliknya kerosakan yang dibuat oleh orang-orang cerdik pandai atau pemimpin yang tidak takut Tuhan, mengakibatkan negara lingkup dan habis wang serta khazanah negara.

Jadi bila semakin banyak perkara yang dianggap masalah maka semakin banyak masalah timbul. Perkara kecil jadi besar dan masalah besar dikatakan kecil. Ada masalah paling besar tapi tidak dianggap masalah iaitu masalah tidak takut Tuhan. Walhal daripada tidak takut Tuhanlah melahirkan macam-macam masalah. Yang tidak menjadi masalah pun akhirnya menjadi masalah.

Jadi hal-hal yang beginilah yang mesti difahami oleh semua orang. Kalau tidak kenal masalah, masalah tidak akan habis. Makin difikirkan masalah, makin banyak masalah timbul. Sedangkan bagi Tuhan, masalah paling besar ialah orang tidak takut Tuhan. Bila tidak takut Tuhan, yang buruk bertambah buruk dan yang baik pun menjadi buruk. Jawatan misalnya, ia perkara baik tetapi bila tidak takut Tuhan, ia akan jadi negatif dan akan melahirkan kerosakan.

Jadi para pejuang kebenaran mesti berani ketengahkan perkara ini dalam forum, ceramah, motivasi, majalah atau apa saja media massa supaya dunia dapat melihat apa sebenarnya masalah yang berlaku. Kalau tidak kenal masalah sebenarnya, masalah tidak akan habis. Bahkan makin memikirkan masalah, makin banyak masalah timbul.

Ditekankan lagi bahawa masalah yang paling besar ialah tidak takut Tuhan. Bila tidak takut Tuhan, yang positif jadi negatif dan yang negatif bertambah negatif.

Yang baik pun menjadi buruk. Yang buruk bertambah buruk. Ini kerana orang yang tidak takut Tuhan akan menyalahgunakan apa yang ada seperti menyalahgunakan kemiskinan, kemunduran, sakit, ilmu, kekayaan, jawatan, kepandaian dan lain-lain lagi. Positif dan negatif akhirnya sudah jadi sama. Sepatutnya biarlah yang baik tidak jadi masalah. Biarlah masalah atau perkara yang negatif sahaja yang jadi masalah.
Masalah yang sebenar ialah tidak kenal dan tidak takut Tuhan!

SAJAK
Kemiskinan bagi orang beriman bukanlah satu masalah
Sama ada yang ditimpa kemiskinan mahupun yang kaya
Si miskin terhibur dengan kemiskinan kerana dapat pahala sabar
Yang kaya pula tempat dia berhibur untuk menyukakan hamba Allah
Si miskin tidak meminta-minta, si kaya pula tempat cari pahala
Si kaya pun gembira ada tempat mereka membela
Si miskin pula redha apa yang ada
Kemiskinan bukan sahaja tanggungjawab negara semata-mata
Tapi tanggungjawab semua manusia
Terutama jiran yang rapat, dan juga keluarga yang terdekat
Selepas itu jiran sekampung dan juga keluarga yang jauh titisan darahnya
Jadi kalau setiap golongan itu bertanggungjawab
Tidak ada orang miskin yang menjadi susah
Tapi hari ini kerana tidak ada iman atau iman lemah
Fakir miskin meminta-minta kerana tidak ada sabarnya
Si kaya tidak mahu memberi kerana bakhil dengan hartanya
Bagaimana kemiskinan tidak menjadi masalah
Si kaya tidak mahu memberi, si miskin sabarnya tiada
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori ALQURAN / AQIDAH / BERDOSA / Nasihat / tahukah anda dengan judul sebab yang Sebenar Ialah Mereka Tak Takut allah.... Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://cmdia.blogspot.com/2012/07/sebab-yang-sebenar-ialah-mereka-tak.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "sebab yang Sebenar Ialah Mereka Tak Takut allah..."

Post a Comment

terima kasih kerana sudi memberi coment, harap datang ke blog ini lagi ya.