kenapa Ulama Suka Berselisih Pendapat?

BERLAKUNYA ikhtilaf atau perselisihan faham, sama ada ikhtilaf furu’iyah yang memang dibenarkan mahupun ikhtilaf usuliyah yang tidak dibenarkan, ada sebab-sebabnya: Sebab-sebab berlakunya ikhtilaf furu’iyah hingga lahir bermacam-macam mazhab antaranya:
PERTAMA: Syarat-syarat yang ditentukan oleh para imam-imam mazhab untuk menerima Hadis tidak sama. Ada sesetengah imam menerima sesuatu Hadis itu kerana syarat syarat untuk diterima sebagai Hadis cukup, tidak ada cacat cela. Tetapi ada imam mazhab yang lain menolak Hadis tersebut dengan syarat lain-lain pula.

Oleh itu mana-mana imam mazhab yang menerima Hadis itu kerana cukup mengikut syarat-syaratnya, mereka pun berhukumlah dengan Hadis itu dan menjadikan Hadis itu sebagai hujah. Dan bagi mana-mana imam yang menolak Hadis itu pula, mereka tidak gunakan Hadis tersebut sebagai hujah. Maka terjadilah ikhtilaf fahaman di kalangan mereka.

KEDUA: Imam-imam mazhab ini memberi erti yang berbeza-beza bagi sesetengah lafaz Al Quran atau Hadis, walaupun ayat Al Quran atau Hadis itu sama-sama menjadi hujah kepada mereka: kerana dalam bahasa Arab, satu perkataan itu mempunyai erti yang banyak. Umpamanya kalimah ‘Dhoroba’ ;. Adakalanya bermakna ‘pukul’. Kadang kadang dimaknakan sebagai ‘pancung’. Adakalanya maknanya ‘bahagian’. Adakala maknanya ‘misalan atau contoh’. Adakala maknanya ‘darab’ (kali: 2 x 2 = 4), ada kalanya bermakna ‘mengembara’ atau ‘bermusafir’ dan lain-lain lagi.

KETIGA: Al Quran itu ada ayat yang nasikh dan ada ayat yang mansukh. Kadang-kadang ada sesetengah ayat Al Quran dinasikhkan oleh ayat yang lain. Adakalanya Hadis dinasikhkan oleh ayat Al Quran dan sebagainya. Imam-imam mazhab juga tidak sama dalam menerima nasikh dan memansukhkan ayat Al Quran. Ada yang terima banyak, ada yang terima kurang. Ada imam yang mengatakan sesuatu ayat itu tidak mansukh manakala imam yang lain memansukhkannya. Mansukh itu maknanya sudah dihapuskan hukumnya. Walaupun ayatnya masih dibaca tetapi hukumnya sudah dibatalkan oleh ayat lain. Bagi imam-imam yang anggap sesuatu ayat itu tidak mansukh, mereka akan jadikan ia sebagai dalil atau hujah. Bagi yang menganggap ayat itu sudah mansukh, dia tidak menjadikannya sebagai hujah lagi. Sudah tentulah tidak sependapat di kalangan mereka, maka terjadilah perselisihan faham.

KEEMPAT: Memanglah imam-imam mazhab itu pilihan ALLAH yang mempunyai ketaqwaan, kewarakan dan ilmu yang luar biasa serta otak yang bergeliga (genius). Kalaulah taqdirnya selepas Rasulullah itu ada nabi, barangkali mereka itulah yang akan dilantik sebagai nabi. Tapi tidak ada nabi lagi selepas Rasulullah SAW. Yang ada hanya ulama. Sebab itu Rasulullah SAW ada bersabda:
“Ulama-ulama umatku seperti nabi-nabi di kalangan Bani Israel”
Tentang ilmunya, waraknya, taqwanya, hatinya dan lain-lain, ulama-ulama itu setaraf dengan para nabi Bani Israil: cuma mereka bukan nabi. Sebab tiada nabi lagi selepas Rasulullah SAW. Ulama-ulama yang dimaksudkan itu tentulah yang seperti imam-imam mazhab, bukan seperti muka-muka kita.!
Jangan pula para ulama hari ini menganggap mereka juga termasuk dalam apa yang disebutkan oleh Hadis tadi. Walaupun ALLAH bagi otak kepada mereka yang luar biasa, ilmu yang luar biasa, namun di antara mereka sesama mereka itu tidak sama. Kekuatan akal dan daya pemikiran masing-masing ada tinggi rendahnya. Ada yang lebih hebat dan ada yang kurang sedikit, maka timbullah pendapat-pendapat yang agak berlainan atas kekuatan akal masing-masing. (Ini dibandingkan mereka sesama mereka, bukan dibandingkan mereka dengan kita. Kalau hendak dibandingkan mereka dengan kita, tentulah macam langit dan bumi.) Kerana tidak samanya daya pemikiran itu menyebabkan lahirnya hasil pemikiran yang berbeza. Maka berlainanlah hukum dalam sesuatu masalah itu.

KELIMA: Oleh kerana ada sesuatu masalah itu tidak ada nas yang jelas (secara qat’i) sama ada nas Al Quran atau Hadis, maka mereka berpegang dengan pesanan Rasulullah SAW kepada Sayidina Muaz bin Jabal. Sewaktu Sayidina Muaz hendak dihantar oleh Rasulullah SAW menjadi guru kepada kabilah Yaman.
عن معاذ بن جبل أن رسول الله صلى الله عليه وسلم لما بعثه إلى اليمن قال: كيف تقضي إذا عُرض لك قضاءٌ؟ قال: أقضي بكتاب الله. قال: فإن لم تجد في كتاب الله؟ قال: فبسنة رسول الله. قال: فإن لم تجد في سنة رسول الله؟ قال: أجتهد رأيي ولا آلو. قال: فضرب رسول الله على صدره وقال: الحمد لله وفّق رسول رسول الله لما يَرضى رسولُ الله
“Diriwayatkan dari Muadz bin Jabal, bahwa pada saat Rasulullah saw mengutusnya ke negeri Yaman, beliau saw bertanya: “Bagaiamana kamu memutuskan suatu persoalan jika disodorkan kepada sebuah masalah?”. Muadz menjawab, “Saya memutuskan dengan Kitab Allah”. Nabi saw bertanya lagi, “Jika kamu tidak menemukan di dalam Kitab Allah?”. Muadz menjawab, “Dengan Sunnah Rasulullah saw”. Kembali, Nabi bertanya, “Jika kamu tidak menemukan di dalam Sunnah?”. Dia menjawab, “Saya melakukan ijtihad dan tidak bertindak sewenang-wenang”. Kemudian, Muadz bercerita, “Rasulullah saw menepuk dadanya dan bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada utusan Rasulullah dengan sesuatu (keputusan) yang diridhai Rasulullah saw”. (Sunan al-Darimi, 168)
Maka apabila tidak ada nas dalam Al Quran dan Hadis, imam-imam mazhab berijtihad menggunakan akal mereka. Mereka memerah otak untuk mengeluarkan hukumnya. Oleh kerana kekuatan akal mereka tidak sama antara satu dengan yang lain maka terjadilah pendapat yang berlainan. Maka berlakulah ikhtilaf furu’iyah lagi.

KEENAM: Cara dalam mendatangkan ‘kaedah’ tidak sama. Apabila tidak sama kaedah, menjadikan tidak sama natijahnya. Contohnya, salah satu kaedah yang digunakan Imam Syafi’i adalah terbalik daripada kaedah Imam Hanafi. Menurut kaedah Imam Syafi’i: Asal-asal pada satu perkara itu adalah harus (halal) kecuali ada dalil yang menunjukkannya haram. Maka selagi tidak ada nas yang mengatakan sesuatu itu haram ia adalah halal. Tapi kaedah Imam Hanafi pula kebalikannya:

Asal-asal sesuatu perkara itu adalah haram, kecuali ada nas atau dalil yang menunjukkannya halal. Imam Syafi’i bermula dengan halal; asalnya sesuatu itu halal kecuali ada nas yang menunjukkannya haram. Katakan kita bertemu seekor binatang dalam hutan. Binatang yang tidak pernah kita jumpa sebelum ini. Setelah dilihat dalam Al Quran dan Hadis, tidak ada nas yang mengatakannya haram dimakan misalnya, maka halallah binatang tersebut. Itu kaedah di sisi Imam Syafi’i. Kalau di sisi Imam Hanafi, sesuatu perkara itu asalnya haram kecuali ada dalil Al Quran dan Hadis yang menunjukkannya halal. Jadi kalau kita pergi ke hutan atau ke laut dan sebagainya, kita berjumpa dengan sesuatu yang tidak pernah kita temui sebelum ini, Al Quran tidak menyebutnya, Hadis pun tidak menyebutnya, maka Imam Hanafi menghukumkannya haram kecuali ada nas yang mengatakannya halal. 

Oleh kerana dalam menempuh kaedah tidak sama, tentulah berlainan hasil pendapat atau memberi hukum. Ini satu lagi yang menimbulkan ikhtilaf dalam furu’iyah. Dan banyak lagi perkara yang menyebabkan terjadinya.
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori tahukah anda / ULASAN dengan judul kenapa Ulama Suka Berselisih Pendapat?. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://cmdia.blogspot.com/2012/04/kenapa-ulama-suka-berselisih-pendapat.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

1 Komentar untuk "kenapa Ulama Suka Berselisih Pendapat?"

terima kasih kerana sudi memberi coment, harap datang ke blog ini lagi ya.