Masjid al-Aqsa semakin dalam bahaya


Malam semalam, saya sempat menonton rancangan ar-Radd al-Jamil di siaran TV satelit Iqra’. Rancangan tersebut merupakan sebuah rancangan untuk menjawab persoalan dan keraguan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam selain berkaitan isu semasa yang menyentuh hal umat Islam. Cuma sedikit terkilan kerana rancangan tersebut sudah di penghujung siaran kerana terlupa. Rancangan yang amat bermanfaat tersebut merupakan rancangan mingguan yang ditayangkan secara langsung pada setiap malam Khamis, dan akan diulang siarannya pada pagi Jumaat. Rancangan tersebut menjemput seorang tokoh pemikir Islam yang tidak asing lagi iaitu Dr Muhammad ‘Imarah hafizahullah. Beliau merupakan salah seorang di antara ulama-ulama’ Mesir yang lantang mempertahankan kesucian dan keindahan Islam dari fitnah dan keraguan yang ditimbulkan oleh para orientalis dan sekutunya. Beliau juga merupakan ahli lembaga Majma’ Buhus al-Islamiyyah bil Azhar as-Syarif ( Pusat Penyelidikan Islam al-Azhar as-Syarif). Tajuk yang dibincangkan pada rancangan tersebut ialah mengenai isu semasa mengenai kedudukan al-Quds al-muhtal-lah dan Masjid al-Aqsa yang semakin dalam bahaya.

Apa yang ingin diutarakan di sini ialah, betapa tegasnya beliau dalam permasalahan yang menjadi tanggungjawab setiap umat Islam ini. Beliau begitu marah dengan pendirian sebahagian ulama’ , para pemimpin negara Arab dan Islam, media massa yang bersikap tidak acuh dalam menangani musibah ini. Beliau menempelak mereka kerana dalam keadaan Masjid al-Aqsa dalam bahaya akibat penggalian bawah tanah masih lagi membincangkan umur taafihah (hal-hal yang remeh temeh) seperti masalah niqab dan yang seumpamanya. Sehinggakan pengacara memintanya untuk meminum air kerana suaranya sudah serak-serak. Beliau menegaskan adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap muslim untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa walaupun hanya seorang muslim biasa. Pengacara tersebut bertanyakan dimanakah peranan ulama’ , pemimpin, dan pegamal media dalam isu ini. Mudah saja dijawabnya, “kalau saya kata wajib mempertahankan bagi muslim yang awwam , maka peranan bagi mereka yang disebutkan adalah tersangat-sangat diperlukan dan wajib”.

Antara fakta yang dibentangkan beliau

Keratan akhbar yang menyiarkan kenyataan Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi hafizahullah

Beliau juga mendedahkan bahawa puak Yahudi sebenarnya sudah mengetahui tiadanya Haikal Sulaiman seperti yang didakwa mereka. Haikal tersebut hanyalah dongengan yang direka-reka untuk membolehkan niat jahat mereka meruntuhkan masjid yang menjadi kiblat pertama bagi umat Islam dan tempat persinggahan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم sebelum dimi’rajkan ke langit.

Saya begitu kagum dengan manhaj wasatiyyah yang dibawakan oleh beliau tetapi tegas. Beliau merupakan tetamu jemputan yang wajib bagi rancangan tersebut. Setiap kali beliau datang, pasti dihadapannya penuh dengan nota-nota, keratan akhbar, buku-buku dan apa sahaja sebagai bukti dan fakta yang akan dibahaskan. Rugi kalau sesiapa yang mempunyai TV satelit tetapi tidak menonton rancangan ilmiah yang sangat bermanfaat seperti itu. Kadang-kadang kecewa juga, apabila dibuka filem dan seumpamanya, ramai yang bertandang, tetapi apabila dibuka rancangan ilmiah seperti ini, ramai yang menyepikan diri.

Berbalik kepada isu Palestin kini, memang benar apa yang dikatakan oleh Dr Muhammad ‘Imarah itu. Umat Islam hari ini suka membincangkan hal-hal yang remeh temeh, bergaduh sesama sendiri dalam isu yang tidak sepatutnya, saling salah menyalahkan antara satu sama lain dan sebagainya. Lihat sahajalah pemimpin-pemimpin Negara Arab dan Islam yang hanya melihat sahaja tanpa tindakan yang pro-aktif. Persidangan demi persidangan di adakan, namun tiada hasil, hanya berani mengeluarkan resolusi mengutuk kekejaman Israel dari jauh. Manakala jutawan-jutawan Arab membazirkan wang mereka ke tempat yang tak sepatutnya. Kita dapat lihat kini, sudah menjadi trend kepada mereka membeli kelab-kelab bola sepak ternama dunia hanya untuk keuntungan peribadi mereka sahaja. Alangkah bagusnya jika wang tersebut dihulurkan kepada saudara seaqidah yang memerlukan terutamanya di Palestin.

Pada beberapa hari yang lalu, Syeikh Raa’id Solah hafizahullah (gambar), tokoh yang banyak memperjuangkan al-Quds dan Masjid al-Aqsa supaya dibebaskan dari Yahudi telah ditangkap pihak berkuasa Yahudi. Beliau dijatuhkan hukuman oleh mahkamah Israel daripada memasuki bandar al-Quds selama 30 hari. Bersama beliau puluhan lagi yang ditangkap. Semoga mereka diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang hebat ini. Sama-sama kita doakan dan banyakkan solat hajat agar Allah azza wajalla memberikan kemenangan kepada saudara-saudara seaqidah kita di sana. Hanya itu yang kita mampu lakukan selain sumbangan material yang terlalu kecil. Yakin dan percayalah janji Tuhan pasti berlaku.

Kita sudah lama bersuka ria, tetapi saudara-saudara kita di sana sudah lama menderita.
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori ARTIKEL PANAS / Musuh Kita / tahukah anda dengan judul Masjid al-Aqsa semakin dalam bahaya. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://cmdia.blogspot.com/2012/05/masjid-al-aqsa-semakin-dalam-bahaya.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

2 komentar untuk "Masjid al-Aqsa semakin dalam bahaya"

  1. memang benar apa yang dikatakan oleh Dr Muhammad ‘Imarah hafizahullah, pemimpin-pemimpin arab yang kaya raya dan berkuasa hanya melihat saja tetapi tidak berani bertindak..ini kerana sejumlah besar pemimpin disana masih besekongkol atau dipengaruhi oleh barat..mereka tidak berani menetang kerana takut kehilangan kuasa dan akan menimbulkan kebagkitan rakyat..dan disini kita melihat kesengasaraan yang ditanggung oleh rakyat-rakyat yang tidak berdosa..malah ada jutawan yang membazirkan duit membeli beratus2 kereta jenama mahal sekalipun mengetahui bahawa rakyat masih hidup dalam kemiskinan dan penderitaan..mereka inilah yang patut berjuang untuk mengangkat martabat islam..mereka sepatutnya bergabung untuk mendapatkan balik palestin..sedangkan orang arab lebih ramai berbanding orang yahudi...kita disini hanya mampu berdoa dan bertawakal kepada Allah semoga mereka di palestin di selamtkan oleh Allah S.W.T.

    ReplyDelete

terima kasih kerana sudi memberi coment, harap datang ke blog ini lagi ya.