Anda Kenalkah Siapa IMAM BUKHARI...?





Imam Bukhari meriwyatkan Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Orang yang membantu janda dan orang 
miskin ibarat berjihad di jalan Allah dan ibarat orang yang solat malam. Ia tidak merasa lelah dan ia juga ibarat orang berpuasa yang tidak pernah berbuka”.

Mengembara beribu batu untuk menuntut ilmu, mempelajari dan mengumpul hadis-hadis Rasulullah SAW bukanlah satu kerja yang mudah. Tapi itulah minat dan kecintaan lelaki luar biasa ini. Kesungguhannya amat ketara walaupun umurnya masih muda remaja. Pernah Imam Bukhari bermusafir 8,000 kilometer untuk mendapatkan sepotong hadis sahaja.

Bagaimanapun, beliau sangat teliti dalam menyaring Hadis-hadis yang diterimanya sebelum mengklasifikasikannya sebagai Hadis sahih. Satu ketika beliau pergi ke rumah seorang perawi Hadis. Beliau melihat orang berkenaan sedang menabur sesuatu kepada binatang ternakannya. Rupa-rupanya dia menabur pasir untuk mengumpan haiwan itu supaya mendekatinya.

Melihat perbuatan orang tersebut, terdetik di hati Imam Bukhari, “Kalau orang ini boleh berlaku tidak jujur dengan haiwan, dia juga boleh berlaku tidak jujur dengan ilmu.”
Lalu beliau sekadar berjumpa orang itu-tetapi tidak mengambil Hadis daripadanya.

Bagaimanapun, sekiranya beliau tidak menerima Hadis-hadis yang diragui perawiannya, Imam Bukhari tidak akan menyebut nyebut keaiban perawi-perawinya, apalagi mengumpat atau mencela mereka. Beliau hanya mengatakan, “Hadis ini tidak mencukupi syarat-syarat yang diperlukan untuk diakui sebagai Hadis yang sahib” atau “Hadis ini tidak dipakai orang.”

Sewaktu kecilnya, Imam Bukhari telah hilang penglihatannya. Ibunya tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar penglihatan anaknya pulih. Hinggalah pada satu malam si ibu yang berhati mulia itu telah bermimpi bertemu Nabi Ibrahim a.s.
Dalam mimpinya itu Nabi Ibrahim a.s. berkata, “Wahai ibu! Allah telah mengembalikan penglihatan anakmu disebabkan doamu yang tulus dan sepenuh hati.”
Keesokan harinya, ketika si ibu bangun dari tidur, beliau amat terkejut dan gembira melihat anaknya Muhammad (nama sebenar Imam Bukhari) pulih penglihatannya.

“Muhammad… kau telah dapat melihat semula?” tanya ibunya.
“Ya, bu, berkat doa ibu,” jawab Imam Bukhari dengan wajah ceria. Berkat doa ibunya juga, Imam Bukhari terbuka hatinya untuk mendalami ilmu terutama ilmu tentang Hadis. Sebagai tanda kesyukuran, si ibu merelakan anaknya berpisah daripadanya dan merantau menuntut ilmu.

Imam Bukhari telah menghabiskan sebahagian umurnya mengembara ke pelbagai tempat untuk belajar dan mengumpul Hadis untuk dimuatkan di dalam kitabnya “Sahih Bukhari”.
Pada satu malam Imam Bukhari bangun menyalakan lampu lalu pergi menyucikan diri. Kedinginan malam langsung tidak menggoyahkan azam dan niatnya untuk bermunajat pada Tuhan, seolah dia sudah lali dengannya.
Setelah menunaikan beberapa rakaat sembahyang, dia mengambil masa menulis dan menyalin kembali Hadis-hadis yang baru diterimanya. Menjelang Subuh, beliau menyambung sembahyangnya sebanyak 13 rakaat lagi.

Pada masa yang lain pula beliau akan berwudhuk dan melakukan sembahyang dua rakaat setiap kali hendak menulis (menaqalkan) sesebuah Hadis di dalam kitabnya “Sahih Bukhari”. Bagi beliau, Hadis adalah wahyu Allah jua, maka kepada-Nya beliau mohon pertolongan untuk menyempurnakan kerja mengumpul dan menyaring Hadis-hadis yang dipusakakan oleh Rasul tercinta.

Beliau juga dikenali sebagai ahli khusyuk. Pernah Imam Bukhari meminta tolong kawan-kawannya membuang sesuatu di belakang badannya yang membuatkan dia rasa tidak selesa setelah bersembahyang tadi.
“Masya-Allah, kau disengat lebah,” seru kawan-kawannya dengan nada hairan. Di belakang badan Imam Bukhari terdapat kesan-kesan lebam bekas sengatan lebah. Kebiasaannya, orang yang kena sengat sampai begitu tentu akan menjerit dan mungkin jatuh pengsan. Pelik, serangan lebah-lebah itu tidak sedikit pun mengganggu sembahyangnya.

Namun tidak ada yang aneh bagi manusia besar seperti Imam Bukhari ini. Sejak ia mula mengangkat takbir yang pertama untuk sembahyang hinggalah selesai memberi salam tiada ruang di hatinya untuk yang lain mencelah selain dan bermunajat dengan Penciptanya Yang Maha Pengasih.
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori KELEBIHAN / KISAH TELADAN / ULASAN dengan judul Anda Kenalkah Siapa IMAM BUKHARI...?. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL https://cmdia.blogspot.com/2012/06/anda-kenalkah-siapa-imam-bukhari.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "Anda Kenalkah Siapa IMAM BUKHARI...?"

Post a Comment

terima kasih kerana sudi memberi coment, harap datang ke blog ini lagi ya.