SPR Beri Amaran: Maklumat Kepada SPR, Bukan Media...


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta maklumat dan bukti dikemukakan kepada suruhanjaya itu berhubung Daftar Pemilih SPR dan bukannya membuat pelbagai dakwaan melalui media.
Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, berkata mana-mana pihak yang mahu memastikan Daftar Pemilih SPR bersih, tepat dan kemas dengan cara membuat semakan di lapangan supaya berbuat demikian.

“Jika ada apa-apa perkara yang kurang jelas mengenai Daftar Pemilih, boleh tampil ke SPR dan SPR ada penjelasan kepada sesuatu perkara itu.

“Memang menjadi hasrat SPR untuk melihat Daftar Pemilih yang ada adalah bersih, tepat dan kemas dan SPR amat memerlukan kerjasama semua pihak dan bukannya sekadar membuat dakwaan melalui media semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamaruddin berkata, pemilih berdaftar turut dinasihatkan supaya membuat semakan maklumat pendaftaran mereka bagi membolehkan sebarang pembetulan dilakukan, jika berlaku kesilapan.
Katanya, ini kerana hanya pemilih itu sahaja yang mengetahui mengenai butiran maklumat peribadi mereka termasuk alamat bermastautin mereka yang sebenar.

“Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang SPR di www.spr.gov.my, melalui sms dengan menaip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 atau menghubungi ibu pejabat SPR di 03-8885 6565,” katanya.

Mengulas dakwaan dalam sebuah akhbar propembangkang bahawa terdapat 6,164 nama dalam Daftar Pemilih Suku Tahun Ketiga 2012 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves adalah pengundi hantu, beliau berkata dakwaan itu menjadi persoalan kepada SPR berikutan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Tahun 3/2012 tidak wujud lagi.

Katanya, ini kerana urusan pendaftaran pemilih bagi tempoh tersebut hanya akan bermula pada 1 Julai dan berakhir pada 30 September 2012.
Kamaruddin turut menafikan dakwaan bahawa SPR membuat sempadan sesuka hati kerana tindakan suruhanjaya itu membetulkan lokaliti yang salah menurut subperaturan 25(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 tidak sama sekali melibatkan apa-apa perubahan sempadan seperti yang dilaporkan.
Katanya, ini kerana kedudukan asal di muka bumi bagi lokaliti yang berkenaan sememangnya berada dalam sempadan bahagian pilihan raya yang hanya boleh diubah melalui proses urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri.

Selain itu, dakwaan 497 nama dikesan dalam satu lokaliti di Jalan Sungai Tua (Jalan SG Tua) tetapi hanya empat nama sahaja yang dikenal pasti, Kamaruddin berkata bagi lokaliti tersebut, ia merangkumi pelbagai nama alamat dalam satu lokaliti.

Katanya, semakan SPR mendapati terdapat 214 alamat dalam lokaliti tersebut dan ia pula pelbagai seperti menggunakan nombor lot, nama kampung, nama batu, nama jalan, kuarters JBA, kuarters JKR.
Beliau berkata, di lokaliti itu juga terdapat 28 alamat menggunakan awalan Jalan Sungai Tua seperti Jalan SG Tua BT 10 Batu Caves, Jalan SG Tua Laksamana dan sebagainya.
Sehubungan itu, katanya, secara logiknya memang terdapat jumlah pemilih yang ramai di lokaliti berkenaan kerana ia dihuni oleh ramai penduduk dalam pelbagai alamat.

Berhubung dakwaan yang dibuat oleh Izwan Sazali bahawa tiada individu yang bernama Arumugan di rumahnya, Kamaruddin berkata SPR sudah mengenal pasti punca berlakunya perkara itu dan didapati berlaku kesilapan pendataan borang pendaftaran pemilih (Borang A) yang dilakukan oleh Penolong Pendaftaran Pemilih (wakil Pejabat Pos).

“Semasa proses pengesahan dan menandatangani borang permohonan di Pejabat Pos, Arumugan a/l G Amirthalingam juga tidak menyedari kesilapan nombor jalan tersebut,” katanya. – BERNAMA
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori BERITA / POLITIK dengan judul SPR Beri Amaran: Maklumat Kepada SPR, Bukan Media.... Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://cmdia.blogspot.com/2012/06/spr-beri-amaran-maklumat-kepada-spr.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Hafiz Muslim -

Belum ada komentar untuk "SPR Beri Amaran: Maklumat Kepada SPR, Bukan Media..."

Post a Comment

terima kasih kerana sudi memberi coment, harap datang ke blog ini lagi ya.