Orang Mendustakan al-Quran itu umpama keldai



SAYID Qutub berkata: Dalam situasi yang hina dan tiada harapan di akhirat itu, Allah SWT kembalikan mereka kepada kedudukan mereka di dunia semasa peluang terbuka kepada mereka sebelum mereka menghadapi situasi di akhirat.
Mereka bukan sahaja bertindak menghalangi dakwah dan berpaling daripadanya, malah mereka lari daripada hidayah, daripada kebaikan dan daripada saranan-saranan yang membawa kepada keselamatan yang ditawarkan kepada mereka.

Allah SWT melukiskan keadaan mereka dengan satu gambaran yang lucu dan aneh.
Firman Allah SWT: Maka mengapa mereka (orang-orang kafir) berpaling daripada peringatan (Allah)? (al-Mudassir: 49)
Muqatil berkata: Mereka tidak menerima kerana dua sebab:
* Keingkaran dan menolak al-Quran.
* Mereka tidak mengamalkan isi kandungannya.
Ibnu Kathir berkata: Mengapa orang-orang kafir itu berpaling daripada apa yang telah diserukan Nabi SAW kepada mereka dan juga berpaling daripada peringatan.
Firman Allah SWT: Seakan-akan mereka itu keldai liar yang lari terkejut. Lari daripada singa. (al-Mudassir: 50-51)

Al-Maraghi berkata: Bandingan mereka yang berpaling daripada al-Quran yang tidak mahu mendengar nasihat yang terkandung di dalamnya, di samping melarikan diri daripadanya laksana keldai-keldai yang liar, lari dengan lintang pukang lantaran terkejut.
Di sini terdapat penghinaan tentang keadaan mereka dan persaksian terhadap kejahilan mereka.
Ibnu Kathir berkata: Seakan-akan mereka lari daripada kebenaran dan penolakan terhadapnya seperti keldai liar ketika melarikan diri daripada singa yang memburunya.

Ibnu Jauzi dalam tafsirnya menyebut banyak pendapat berkenaan dengan maksud qaswarah antaranya:
* Singa seperti riwayat Yusuf bin Mihran.
* Pemanah-pemanah seperti riwayat ‘Ata yang juga pendapat Mujahid, Qatadah, ad-Dahak, Muqatil dan Ibnu Kaisan.
* Iaitu tali-tali bagi pemburu, inilah riwayat Ikrimah daripada Ibnu Abbas.
* Lelaki-lelaki yang gagah seperti riwayat Abu Hamzah daripada Ibnu Abbas.
* Orang yang menjadi kepercayaan seperti riwayat ‘Ata juga.
* Iaitu kegelapan dan malam seperti pendapat Ikrimah.
* Iaitu anak panah dan busurnya seperti pendapat Qatadah.

Sayid Qutub berkata: Itulah pena yang unik yang melukiskan pemandangan ini dan merakamkannya di tengah alam buana yang dapat dilihat oleh semua orang dan membuat mereka merasa malu dan enggan dilukiskan seperti itu serta membuatkan orang-orang yang lari dan berpaling daripada hidayah ini menyembunyikan diri mereka kerana terlalu malu.
Mereka memperlahankan gerak lari dan palingan mereka kerana takut ditangkap oleh penggambaran yang begitu hidup dan kasar.

Firman Allah SWT: Bahkan tiap-tiap orang daripada mereka berkehendak supaya diberikan kepadanya lembaran-lembaran yang terbuka. (al-Mudassir: 52)
Ibnu Abbas berkata: Sesungguhnya orang Musyrik mengatakan: “Jika Muhammad itu benar, hendaklah dia mendatangkan kepada setiap orang daripada kami sebuah lembaran yang di dalamnya mengandungi kebebasan Muhammad dari neraka.”
Ibnu Kathir berkata: Setiap orang Musyrik menginginkan agar al-Kitab diturunkan kepada mereka, seperti yang diturunkan kepada Nabi SAW.

Penutup
Penulis menutup perbincangan ini dengan meminjam kata-kata Sayid Qutub antara lain katanya: Mereka tidak mungkin menentang kehendak Allah SWT dengan kehendak mereka dan mereka tidak bergerak ke suatu hala melainkan dengan iradat Allah yang menentukan gerak dan hala mereka.
Allah itulah Tuhan yang layak menerima takwa daripada para hamba-Nya dan mereka dituntut supaya bertakwa kepada-Nya. Dan Dia juga yang layak memberi keampunan kepada hamba-Nya mengikut kehendak-Nya.
Takwa itulah yang melayakkan seseorang menerima keampunan Allah SWT dan hanya Allah sahaja yang berhak menerima takwa dan mengurniakan keampunan.
Semoga kita mendapat keampunan Allah yang melayakkan kita menghuni syurga-Nya
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori Nasihat dengan judul Orang Mendustakan al-Quran itu umpama keldai. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://cmdia.blogspot.com/2012/05/orang-mendustakan-al-quran-itu-umpama.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Hafiz Muslim -

Belum ada komentar untuk "Orang Mendustakan al-Quran itu umpama keldai"

Post a Comment

terima kasih kerana sudi memberi coment, harap datang ke blog ini lagi ya.