ULASAN: Nabi tak suruh ikut mazhab? (2)


Jangan pula menganggap bahawa bila seseorang mengikut salah satu daripada empat mazhab tadi, maka dia tidak mengikut Al Quran dan Hadis. Kerana keempat-empat Imam Mazhab tersebut telah pun mengikut Al Quran dan Hadis. Mereka mengistinbatkan hukum atau mengeluarkan hukum daripada Al Quran dan Hadis. Ini memberi erti mereka mengikut Al Quran dan Hadis. Oleh itu kita tidak boleh menganggap imam-imam tersebut tidak mengikut Al Quran dan Hadis. Jangan pula kita anggap mereka mengeluarkan hukum hanya berdasarkan fikiran mereka semata-mata.

Buktinya, Imam Malik di samping merujuk pada Al Quran, beliau juga mempunyai sebuah kitab Hadis yang bernama Al Muwaththa’. Kitab ini merupakan kitab Hadis yang pertama, lebih dahulu daripada Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan kitab-kitab Hadis yang lain. Ia mengandungi lebih 10,000 buah Hadis. Oleh yang demikian bila Imam Malik mengeluarkan hukum ataupun fatwa, di samping merujuk kepada AI Quran , dia juga merujuk Hadis-Hadis dalam kitab Al Muwaththa’nya itu. Mana boleh dikatakan Imam Malik tidak mengikut Hadis. Ini satu tuduhan yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada seorang ulama besar. Bahkan mengikut riwayat, Imam Syafi’i pernah membuat pengakuan yang beliau telah pun menghafal kitab tersebut sebelum berguru dengan Imam Malik. Apabila bertemu, Imam Malik terkejut, lantas menyuruh Imam Syafi’i membaca dari awal hingga ke akhir tanpa melihat kitabnya.

Imam Hanafi juga ada mempunyai kitab Hadis yang bernama Al Wasif. Bila Imam Hanafi diminta mengeluarkan hukum atau memberi fatwa, beliau berfatwa berdasarkan Al Quran dan Hadis yang ada dalam kitab Al Wasif. Imam Syafi’i pula terkenal dengan kitab Al Umm, yang ditulis oleh murid kanannya yang bernama Ar Rabi’. Oleh itu Imam Syafi’I mengistinbatkan hukum, selain daripada Al Quran, juga daripada Hadis yang terdapat dalam Al Umm. Begitu juga dengan Imam Hambali (Ahmad bin Hambal). Beliau mempunyai kitab Hadis yang terkenal dengan Al Musnad. Tak kurang daripada 35,000 Hadis terkandung di dalamnya.

Di sini nyatalah keempat-empat Imam Mazhab ini, apabila memberi fatwa atau berijtihad atau mengeluarkan hukum, mereka merujuk kepada Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Kalau ada orang-orang di belakang termasuk kita, mengikut salah satu daripada Imam-Imam Mazhab itu, ertinya mengikut orang yang telah mengikut Al Quran dan Hadis. Tidak boleh dikatakan mengikut mana-mana mazhab ini tidak mengikut Al Quran dan Hadis. Cuma orang-orang yang bertaqlid macam kita ini tidak tahu ayat Quran mana yang dipakai oleh mereka atau Hadis mana digunakan oleh mereka. Kerana kita ini adalah muqallidi atau pengikut. Tetapi mereka tahu nas yang mana mereka gunakan sama ada dari Al Quran atau Sunnah Rasulullah SAW.
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori ULASAN dengan judul ULASAN: Nabi tak suruh ikut mazhab? (2). Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://cmdia.blogspot.com/2012/04/ulasan-nabi-tak-suruh-ikut-mazhab-2.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "ULASAN: Nabi tak suruh ikut mazhab? (2)"

Post a Comment

terima kasih kerana sudi memberi coment, harap datang ke blog ini lagi ya.