PERNIAGAAN adalah salah bidang pekerjaan yang dituntut dalam Islam.   Semua urusan niaga dan jual beli bukan hanya sekadar memburu keuntungan   semata-mata tetapi menjaga kepentingan dan kebajikan pengguna. 
   Islam mengkategorikan urus niaga dan jual beli fardu kifayah yang   menjadi tanggungjawab umat Islam. Rasulullah ditanya mengenai usaha  yang  paling baik sebagai sumber pendapatan atau rezeki.
 Baginda menjawab: Pekerjaan yang paling baik hasil usahanya sendiri   dan setiap perniagaan yang baik serta halal (Riwayat Bazzar dan  Sohehahu  al-Hakim).
 Umat Islam perlu memiliki kekuatan ekonomi agar  seluruh umat Islam  dapat manfaat daripadanya dalam usaha mengembangkan  ajaran Islam.
 Nabi Muhammad s.a.w membuktikan baginda seorang usahawan berjaya   di samping terkenal dengan sifat terpuji dan amanah dalam menjalankan   perniagaan.
   Sejak belasan tahun, baginda mendapat kepercayaan bapa   saudaranya menguruskan perniagaan. Baginda mahir selok belok perniagaan   walaupun menghadapi persaingan pedagang veteran di tanah Arab. 
    Pada usia 25 tahun, Nabi Muhammad s.a.w menjalankan amanah   mengendalikan perniagaan Khadijah sehingga memperoleh keuntungan   berlipat kali ganda. 
   Dengan pengalaman yang luas dalam  perniagaan itu, Nabi Muhammad  s.a.w dapat menyampaikan dakwah mengenai  riba, pengurangan timbangan  dan menjaga hubungan baik dengan pelanggan. 
  Bukan mudah untuk mengecapi kejayaan. Ia tidak datang atau  bergolek di  depan mata kerana memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan  usaha. 
  Paling penting, produk atau barangan yang dikeluarkan melalui   perniagaan kita benar-benar berkualiti serta mendapat pujian daripada   pembeli. 
 Menjadi kesalahan besar jika ada kalangan peniaga yang  mahukan  keuntungan segera dengan menggunakan kaedah dilarang syarak  untuk  melariskan perniagaan mereka.
 Menggunakan pelaris yang bertentangan dengan ajaran Islam boleh membawa manusia kepada syirik dan kufur kepada Allah.
  Amalan menggunakan azimat atau tangkal yang percaya kepada kuasa   seperti keris, duit syiling, kulit binatang, misai atau kuku harimau,   tasbih, permata, bulu binatang dan gambar rajah adalah perbuatan   khurafat. 
 Tiada rahsia mudah berjaya dalam dunia perniagaan  melainkan  kembali menyusuri jejak Rasulullah s.a.w. Sifat kehambaan,  takwa dan  tawakal adalah asas penting sebagai ‘ilmu pelaris’. 
  Firman Allah yang bermaksud: "Barang siapa bertakwa kepada Allah  nescaya  Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya  rezeki  dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang   bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya).   (Surah At-Talaq ayat 2-3).
 Usaha bersungguh-sungguh dan tidak  mudah berputus asa adalah  motivasi terbaik untuk maju dalam perniagaan.  Manusia tiada sifat  ketakwaan dan rendah peribadinya akan mudah mengalah  apabila menghadapi  tekanan. 
 Berbeza dengan mereka yang  memiliki sifat ketakwaan, peribadi  mereka begitu yakin dengan kekuasaan  Allah dan tidak cepat berputus  asa.
 Jatuh dan bangun perniagaan  sebagai ujian daripada Allah dan akan  mendapat ganjaran pahala. Ketika  mendapat kejayaan, mereka bersyukur,  begitu juga ketika jatuh, mereka  tetap bersabar.
 Setiap rezeki manusia di dunia ini datangnya  daripada Allah s.w.t.  Islam menetapkan panduan yang jelas bahawa  penggunaan benda lain  khususnya azimat dan tangkal bagi menarik  perhatian pembeli adalah tidak dibenarkan.
 Masyarakat Islam seharusnya faham mengenai hal itu dan tidak sepatutnya meminta pertolongan daripada sumber lain.
  Allah berfirman yang bermaksud: "Dan di antara manusia ada yang   mengambil selain daripada Allah beberapa sekutu (berhala), mereka itu   mengasihinya seperti mengasihi Allah. Tetapi orang-orang yang beriman   amat kasih kepada Allah. Jika orang-orang yang zalim mengetahui, ketika   mereka melihat seksaan (nescaya) sesungguhnya kekuasaan bagi Allah   semuanya dan sesungguhnya Allah sangat berat seksaan-Nya (Surah   al-Baqarah ayat 165).
 Allah menjelaskan ada kalangan umat Islam  menyembah Allah tetapi  dalam masa sama mereka mempercayai perkara lain  yang mampu melariskan  perniagaan mereka. 
 Perbuatan berkenaan  dikira mempersekutukan Allah. Allah berfirman  yang bermaksud: "Dan jika  Allah melapangkan rezeki bagi  hamba-hamba-Nya, mereka aniaya di muka  bumi, tetapi Dia menurunkan  dengan kadar (yang tertentu), menurut  kehendak-Nya. Sesungguhnya Dia  Maha  Mengetahui lagi Maha Melihat segala  hamba-Nya (Surah Asy-Syuura  ayat 27).
 Jika kita faham perniagaan satu ibadah, pasti seseorang itu menjaga akhlaknya dan sentiasa positif dengan persaingan. 
 Ramai sahabat Rasulullah s.a.w berjaya sebagai usahawan walaupun mereka menghadapi pelbagai kesukaran. 
  Malah, boleh dikatakan Rasulullah s.a.w melahirkan masyarakat   perdagangan yang tumbuh dengan cepat selepas penghijrahan baginda ke   Madinah.
 Keuntungan dalam perniagaan menjadi hak kepada seseorang usahawan dari pandangan Islam.
  Saidina Ali menyatakan dalam warkahnya kepada Malik bin al-Haris   sewaktu perlantikan sebagai gabenor Mesir: "Adalah menjadi hak kepada   pedagang untuk memperoleh keuntungan atas usaha mereka menyediakan   barangan yang berguna kepada masyarakat" 
 Namun, keuntungan harus diperoleh melalui usaha yang tidak bercanggah dengan etika perniagaan Islam.
   Usahawan yang berjaya perlu memahami perniagaan yang dijalankan   diredhai Allah. Lakukan penilaian adakah perkhidmatan atau barangan   mencapai kualiti terbaik? Periksa kandungan barangan itu sama ada halal   atau tidak. 
   Selain itu, penting dalam perniagaan untuk  melaksanakan keadilan  dan ihsan. Sebagaimana Allah berfirman yang  bermaksud:  "Sesungguhnya  Allah menyuruh melakukan keadilan dan berbuat  kebajikan serta memberi  karib kerabat, dan melarang berbuat yang keji  dan yang mungkar dan  kezaliman. Dia mengajarkan kepadamu agar kamu  mendapat peringatan’  (Surah an-Nahl, ayat 90).
   Elakkan sifat  kedekut termasuklah kepada pelanggan dan pekerja.  Tunaikan kewajipan  melunaskan zakat perniagaan dan zakat peribadi  dengan harapan harta yang  diperoleh dapat disucikan.
   Penolong Pengarah Pusat al-Quran  dan Ilmu Teras, Institut  Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat  Zain, berkata terdapat dua  cara pelaris iaitu yang dibenarkan dan tidak  dibenarkan syarak.
  "Pelaris yang tidak dibenarkan ialah sesuatu  perbuatan yang  dilakukan bagi melariskan jualan perniagaan dengan  merosakkan  perniagaan orang lain.
 "Pelaris dibenarkan syarak  ialah sebelum membuka perniagaan mereka  meminta nasihat golongan  berpengalaman, mengamalkan zikir, doa dan  wirid supaya Allah membuka  pintu rezeki seluas-luasnya kepada mereka,"  katanya.
 Beliau berkata, peniaga boleh mengamalkan ayat daripada al-Quran seperti ayat kursi atau ayat seribu dinar.
  "Ayat seribu dinar dan ayat kursi contohnya boleh dibaca, ditulis, dihafal dan diletakkan di tempat yang mulia.
  "Pelaris yang dilarang ialah menggunakan tangkal, azimat, bantuan   bomoh, meletak barangan tertentu dalam beg atau poket kerana semua  unsur  berkenaan membawa kepada syirik kepada Allah. 
   "Terdapat  hadis yang memberi penjelasan mengenai tangkal  berkenaan antaranya hadis  yang bermaksud: "Uqbah Ibnu ‘Amir berkata,  Rasulullah s.a.w. bersabda  yang bermaksud: "Barang siapa yang  menggantung tangkal (Damimah) maka  Allah s.w.t tidak akan  menyempurnakan hajatnya dan barang siapa yang  menggantung objek seperti  kulit siput (Wada’ah), maka Allah tidak akan  menenteramkannya."
  "Jelas, Nabi Muhammad s.a.w melarang  sebarang penggunaan tangkal  seperti benang, tali atau apa sahaja yang  dipakai pada badan bagi  tujuan mendapat faedah yang diharamkan,"  katanya.
   Zamihan berkata usahawan Muslim perlu mempunyai ilmu  perniagaan  sebelum menceburi bidang yang mencabar itu dan berniat untuk  membantu  agama.
   "Apabila dikurniakan rezeki yang melimpah  ruah, pastikan ia  dibelanjakan dengan cara halal kerana mereka membawa  amanah daripada  Allah.
  "Jika membuka perniagaan restoran atau  kafe, pastikan kita  menyediakan tempat yang selesa, makanan yang bersih  dan sedap supaya  pelanggan berpuas hati.
   "Tidak boleh  menerbitkan perasaan dengki atau iri hati dengan  pesaing lain. Kita  dibolehkan ‘tercabar’ dengan perkhidmatan baik yang  ditawarkan itu dan  berusaha memperbaiki kekurangan untuk menjadi lebih  baik darinya,"  katanya.
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori tahukah anda
 dengan judul Tiada Jalan Mudah Dalam Niaga. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://cmdia.blogspot.com/2012/02/tiada-jalan-mudah-dalam-niaga.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: 
Unknown - 
 


Belum ada komentar untuk "Tiada Jalan Mudah Dalam Niaga"
Post a Comment
terima kasih kerana sudi memberi coment, harap datang ke blog ini lagi ya.